Sunday, July 20, 2008

DENDANGAN PEMUDA CACAT PIKAT JURI (Dipetik dari Google Group Kumuniti OKU)


Sedang bermusafir di alam maya untuk memuatkan berita atau apa-apa cerita yang berkaitan dengan Azhan, saya terjumpa artikel yang pada saya menarik untuk kita kongsikan bersama. Inilah kelebihan OBU (Orang Beza Upaya - istilah baru yang saya petik dari satu forum yang saya tak ingat di mana).



DENDANGAN PEMUDA CACAT PIKAT JURI



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Vokal merdu azhan melekat di hati penonton

DI sebalik kekurangan dari segi penglihatan, Azhan Atan dianugerahkan Tuhan dengan kelebihan yang lain. Lelaki dari Johor ini punya suara dan penghayatan dalam nyanyian yang cukup baik. Lalu tidak hairan apabila namanya berada pada kedudukan teratas di kalangan peserta Akademi Nasyid, sebuah rancangan realiti terbaru terbitan TV9.


Sebelum persembahan pada minggu kedua bermula, penonton didedahkan dulu dengan kedudukan carta peserta. Pada ketika peserta lain, solo mahupun berkumpulan, hanya memperoleh sekitar empat hingga enam peratus, Azhan yang juga bapa kepada empat anak itu jauh di depan dengan lebih 30 peratus.


Berbaloi benarkah undian yang diterima peserta berusia 35 tahun ini? Apakah markah yang diperoleh adalah undian simpati? Penantian untuk mendapatkan jawapan berakhir apabila Azhan yang diberikan tugasan menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih dendangan asal M Nasir menunaikan tanggungjawab itu dengan cukup baik. Ketiga-tiga juri pada minggu terbabit, komposer Farihin Abdul Fatah, Amran Omar dan Azmee Manap, turut terpesona dengan persembahan pemuda ini.


Farihin mengagumi Azhan yang mampu menyentuh jiwa penonton termasuk dirinya, manakala Amran menganggap peserta itu amat berbakat serta memiliki suara yang lantang, sementara Azmee pula melihat persembahan Azhan sebagai sangat halus dan baik, yang mengembalikan ‘rasa’ kepada manusia.


Yang nyata, Azhan sebutir permata yang cukup istimewa. Kecacatan penglihatan tidak menghalang pemuda ini bersinar dengan alunan suara terpuji, serta penghayatan yang mengagumkan. Bak kata juri, dia berupaya mengalirkan rasa ke dalam diri setiap insan yang memenuhi studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.


Begitulah Azhan yang memikat setiap penonton yang hadir dengan lantunan vokal merdu dan persembahan menyentuh hati. Setiap kali suara ditarik, setiap kali itu jugalah penonton bersorak menyokong persembahan peserta ini. Namun dia tidak cair dalam pujian yang secara terang-terangan diterima - daripada penonton, juri mahupun tenaga pengajar.


"Hiburan itu suatu seni. Paling penting penyampaian kita dalam memberikan hiburan berguna. Setiap persembahan yang dilakukan, biarlah mempunyai mesej di dalamnya. Bukan setakat hubungan mata yang perlu ada di antara penyanyi dengan penonton, bahkan hubungan hati juga penting sekali.


"Saya sendiri tidak pernah memikirkan soal kekurangan diri. Sebaliknya, untuk membuatkan persembahan kita menarik perhatian, buangkan rasa gemuruh dalam diri. Yang penting, saya seronok berada di atas pentas," katanya ketika ditemui sebaik saja siaran langsung minggu kedua program itu berakhir.


Mengenai pujian yang banyak diterima, Azhan mengaku dia tidak berasa apa-apa perbezaan dalam diri kerana sememangnya sudah biasa dengan pentas.


"Saya sudah sering kali beraksi pada persembahan pentas sebelum ini. Saya juga sukakan benda-benda baru apabila menyanyi (nasyid). Ada kala saya menunjukkannya terlebih dulu kepada isteri atau anak-anak. Saya seronok apabila melakukannya dengan cara tersendiri," ujar Azhan yang mampu bermain keyboard.


Sebelum perbualan dengannya berakhir, pemuda yang ramah ini berbisik, "Bukan habuan RM100 ribu (hadiah utama Akademi Nasyid) itu yang saya kejar. Sebaliknya, inilah cara terbaik untuk kita mendekati golongan muda untuk menyampaikan mesej. Hendak mengajak mereka ke surau atau masjid, mungkin agak sukar kini. Justeru, menerusi program seperti inilah kita mampu mengajak mereka ke arah kebaikan."


Mungkin juga kehadiran Azhan dalam program ini memang mempunyai keberkatannya. Apatah lagi, dia hanya sekadar menemani anak buah ketika sesi uji bakat diadakan dulu. Namun, ketentuan mengatakan, dirinya yang selayaknya mengisi satu tempat dalam akademi berkenaan.


Yasin Sulaiman, seorang daripada tenaga pengajar Akademi Nasyid, mengaku air matanya hampir mengalir kali pertama dia mendengar alunan suara peserta ini. Bahkan, katanya, semua mereka yang mendengar nyanyian Azhan turut berasakan demikian.


"Vokal Azhan mempunyai sesuatu yang mampu mengusik pendengaran kita. Sehingga sekarang pun, setiap kali saya mendengar nyanyiannya, saya begitu tersentuh. Itulah pemberian Allah kepadanya," kata Yasin yang turut dilantik pengarah muzik bagi program realiti ini.


Tegas Yasin, bukan kecacatan peserta itu yang menjadikannya pilihan ramai, sebaliknya bakat besar dimilikinya yang memberikan kelebihan.


"Jika Azhan mampu melihat seperti orang lain pun, saya yakin penonton akan tetap menyokongnya. Penonton Akademi Nasyid bijak dalam melakukan undian," sambungnya.


Dia juga gembira apabila rata-rata peserta rancangan itu menunjukkan peningkatan pada minggu kedua persembahan. Malah, kumpulan pertama yang tersingkir, Sofieya, juga menonjolkan persembahan dengan baik.


"Pada saya, keseluruhan konsep rancangan ini sendiri adalah cukup baik. Sudah sekian lama kami mengimpikan sebuah rancangan yang mengutarakan nyanyian nasyid. Kini, akhirnya ia terlaksana juga. Kami amat bersyukur dengan penganjuran program ini.


"Menerusinya kita berupaya menyampaikan pesanan, nasyid bukanlah sempit. Skopnya cukup luas dan kami di akademi tidak hanya menonjolkan nasyid tradisi. Bahkan ia turut membabitkan irama pop ketuhanan, hingga ke lagu rap atau rock," ujar penyanyi yang juga komposer terkenal ini.


INFO: Akademi Nasyid

a.. SELAIN Azhan, minggu kedua juga menyaksikan persembahan kumpulan Muslim Voice dengan lagu Rabeeul Awal, Mohd Shahridzal Lokma (Bukan Kerana Nama), Mohamad Aiman Mohd Sidek (Kasih Kekasih), kumpulan D’Vision (Sumayyah), kumpulan In-Heart (Alhamdulillah), Zuriana (Doa), kumpulan Farhan (Iman Mutiara), Eda Fazilah Ismail (Rindu), kumpulan Sofieya (Senyum), Mohd Shukri Nasrun (Berita Kepada Kawan) dan kumpulan Muslim Voice (Teman Sejati).


a.. SEBANYAK 50 peratus pemarkahan dilakukan juri undangan, manakala 50 peratus lagi oleh penonton menerusi kiriman SMS.


a.. AKADEMI Nasyid diacarakan penyanyi Hafiz Hamidun. Di samping Yasin yang mengajar vokal, peserta turut mendapat bimbingan Asri Ibrahim (Rabbani) selaku penasihat, manakala Usop Kopratasa pula pengajar seni tari.


a.. PROGRAM ini disiarkan secara langsung dari Plaza Alam Sentral setiap Sabtu, jam 8.30 malam hingga 10 malam. Galeri Akademi Nasyid pula disiarkan selama setengah jam, setiap Sabtu, bermula 1.30 tengah hari.

1 comment:

nazzaman said...

salam.... saya mula menonton akademi nasyid masa minggu ke2 persembahan... pertama kali saya mendengar suara dan alunan nyanyian azhan... hati saya terus tersentuh dan air mata saya mengalir... mesej lagu tersebut memang mendalam dan saya memang menyukainya... tapi cara pembawaan lagu tersebut oleh azhan benar2 buat saya mengalirkan air mata... TAHNIAH BUAT AZHAN.. saya akan setia menyokong anda.