Wednesday, June 18, 2008

Info TV: Peserta Akademi Nasyid di TV9 mula bertanding Sabtu ini

TV9 memperuntukkan RM1 juta bagi merealisasikan program realiti Akademi Nasyid. Sebanyak RM100,000 daripada jumlah itu dikhaskan sebagai hadiah utama kepada seorang daripada 12 peserta yang bakal bertanding di peringkat akhir selaing peluang merakamkan album.

Program realiti pertama yang mengangkat lagu ketuhanan ini bakal menemui penonton di TV9 apabila misi pencarian 12 finalis terbaik sudah ditemui selepas berhempas pulas ke serata negeri dalam sesi uji bakat.

Program Akademi Nasyid ini akan disiarkan TV9 , setiap Sabtu, jam 8.30 malam bermula 21 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Bukhari Che Muda berkata, TV9 memberi ruang kepada muzik dari genre nasyid kerana nasyid juga adalah sesuatu yang bersifat sejagat.

"Misi program realiti Akademi Nasyid ini juga adalah untuk melahirkan penyanyi atau artis nasyid berkaliber dan menaikkan taraf muzik ini setaraf dengan muzik sedia ada.

"Kebanyakan peserta yang menyertai uji bakat program ini sudah bersedia sehingga menyukarkan juri memilih kumpulan atau solo terbaik. Ini adalah rancangan realiti muzikal nasyid yang tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana stesen televisyen lain di Malaysia," katanya di sidang media selepas memperkenalkan 12 finalis Akademi Nasyid, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau yakin rancangan realiti seperti Akademi Nasyid mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton kerana dalam rancangan ini, pihaknya dapat melahirkan ramai lagi bakat baru dalam muzik nasyid kontemporari.

Seorang daripada peserta Akademi Nasyid ini, Azhan Atan, 35 dari Johor berkata, program Akademi Nasyid dianggap unik kerana penganjur tidak memilih personaliti pesertanya memandangkan fizikal bukanlah ukuran tetapi bakat.

"Saya bersyukur terpilih sebagai 12 peserta peringkat akhir .Walaupun saya mengalami kecacatan penglihatan, namun mereka betul-betul menilai kepada bakat. Ini juga program pertama saya ceburi dan berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan TV9 sebaik mungkin," katanya.

Sementara bagi Mohd Shukri Nasrun, 25 dari Pahang pula, berpendapat, penyampaian mesej dakwah melalui lagu tidak terlalu bergantung kepada imej seseorang.

"Penampilan saya sebegini bukanlah ukuran yang dinilai juri semasa sesi uji bakat. Saya bersyukur terpilih kerana penganjur bersikap terbuka dalam menilai bakat peserta.

"Sepanjang enam tahun bekerja sebagai pemuzik jalanan di Kampung Baru dan Up Town, Damansara, saya berasakan Akademi Nasyid inilah tempat yang paling sesuai bagi saya mempertaruhkan irama ketuhanan yang terlalu dekat di hati saya," katanya yang menggayakan imej rock sebagai taruhan dalam program itu nanti.

Peserta dari Pulau Pinang, Zuriana Ishak, 32 berkata, pengalaman selama empat tahun penyanyi di majlis korporat cukup mematangkan dirinya. Sepanjang itu juga dirasai, imej rock yang ditonjolkan sebelum ini tidak memenuhi cita rasanya sehingga teringin beralih kepada irama ketuhanan.

"Sepanjang empat tahun sebelum ini saya tidak bertudung dan kini, Alhamdulillah saya memakainya tudung sejak empat lalu kerana minat yang saya cari selama ini sudah ditemui. Sebab itu, saya amat berminat untuk menyertai prpgram ini disebabkan mesej ketuhanan adalah sesuatu yang saya cari selama ini," katanya.

Turut bertanding dalam Akademi Nasyid musim pertama ini ialah Mohd Shukri Nasrun (Pahang), Zuriana Ishak (Pulau Pinang), Mohamad Aiman Mohd Sidek, (Terengganu), Mohd Shahridzal Lokma (Pahang), Eda Fazilah Ismail (Perak) dan Azhan Atan (Johor).

Sementara peserta berkumpulan pula terdiri daripada Sofieya (Kuala Lumpur), Voice of Men (Johor), In heart (Kuala Lumpur), Muslim Voice (Pahang), Farhan (Melaka) dan D'Vision (Melaka).

No comments: